Jalan Profesor Khoo Kay Kim nama baharu bagi Jalan Semangat, Petaling Jaya, berkuatkuasa serta merta

Jalan Profesor Khoo Kay Kim nama baharu bagi Jalan Semangat, Petaling Jaya, berkuatkuasa serta merta

07/05/2019

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, mengumumkan Jalan Semangat di Petaling Jaya telah dinamakan semula dengan nama Jalan Profesor Khoo Kay Kim, sebagai menghargai jasa dan bakti mendiang kepada negara. Penamaan semula nama jalan itu dibuat selepas mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan berkuatkuasa serta merta.

“Ia sebagai mengenang jasa dan ketokohan Profesor Khoo Kay Kim yang menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 28 Mei lalu. Pemergian mendiang meninggalkan legasinya sebagai seorang nasionalis dan patriot khususnya pembabitan beliau dalam merangka Rukun Negara, sebagai suatu usaha mengembalikan keharmonian negara selepas peristiwa 13 Mei 1969,” katanya seperti yang dilaporkan Bernama.

Dalam masa yang sama, Amirudin turut berkata, kerajaan negeri juga menetapkan bahawa semua papan tanda jalan di Selangor akan menggunakan Bahasa Melayu sahaja.

“Ini selaras dengan perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967. Perihal ini turut mendapat perhatian tuanku yang memberi titah dan nasihat agar Kerajaan Selangor memartabatkan Bahasa Melayu dengan menetapkan hanya Bahasa Melayu digunakan dalam papan tanda rasmi kerajaan negeri, termasuk pihak berkuasa tempatan.

“Pendirian kerajaan adalah selaras dengan komitmen Pakatan Harapan (PH) yang komited mempertahankan beberapa teras utama perlembagaan seperti kedudukan raja-raja Melayu, hak istimewa orang Melayu, Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan,” katanya.

Related Cars for Sale on









Source: Read Full Article