MITI umum DreamEDGE jadi syarikat kereta nasional baru, dapat sokongan teknologi dari Daihatsu
08/09/2019Dalam perkembangan terbaru berkaitan projek kereta nasional terbaru (NNCP), kerajaan melalui Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Darell Leiking pagi ini mengumumkan bahawa pihak DreamEGDE telah dilantik sebagai syarikat pengendali atau “anchor company” yang akan bertanggungjawab ke atas projek berkenaan.
Dengan pengumuman ini, dua syarikat lain yang sebelum ini turut menunjukkan minat terhadap projek berkenaan tidak terpilih sebagai syarikat utama. Yang dimaksudkan ialah dari Elenvi Otomotif Sdn Bhd dan sebuah lagi oleh Mimco yang sebelum ini telah menunjukkan rekaan awal bagi model SUV Alif.
Pengumuman kedua yang turut diberi penekanan dalam sidang media yang sama ialah Daihatsu Jepun dinamakan sebagai syarikat penyedia sokongan teknologi kepada projek berkenaan. Syarikat ini bagaimanapun tidak akan bertindak selaku rakan niaga atau rakan strategik kepada DreamEDGE. Menurut Darell, projek ini akan biayai sepenuhnya menggunakan dana swasta dan kerajaan tidak akan mengeluarkan wang sama sekali – melainkan memberikan sokongan dari sudut insentif dan struktur cukai.
Kereta dan teknologi apa yang akan dibangunkan? Menurut CEO DreamEDGE, Khairil Adri Adnan, mereka sedang mempertimbang untuk menghasilkan sebuah kereta sedan segmen C, dengan menggunakan teknologi hibrid sebagai model pertama. Di dalam majlis yang sama, beliau turut menyebut bahawa model berkenaan akan dilancarkan pada bulan Mac 2021.
Source: Read Full Article