Video teaser Honda RS150R 2019 Vietnam tersebar

Video teaser Honda RS150R 2019 Vietnam tersebar

06/24/2019

Sedang Yamaha menikmati pasaran dengan ketibaan Y15ZR versi facelift 2019, pesaing rapatnya iaitu Honda RS150R masih lagi tidak diperbaharui. Walaubagaimanapun, waktu pengenalan RS150R 2019 semakin hampir, dengan video teaser baginya telah pun disiarkan oleh laman web permotoran di sana, Motosaigon. Dipercayai, video ini bocor daripada pertemuan wakil pengedar yang berlangsung di sana.

Perkara penting yang dinyatakan dalam video ini adalah RS150R (yang dipanggil sebagai Winner di Vietnam) 2019 akan dilancarkan secara rasmi 13 Julai ini, bertempat di Stadium My Dinh, Hanoi, Vietnam. Kemudiannya, beberapa ciri model baru ini turut terdedah.

Paling jelas adalah rekaan lampu utama, yang juga menggunakan sistem LED, tetapi bentuknya telah berubah lebih unik. Selain bahagian utama, terdapat jalur yang bersambung ke atas seperti sepasang tanduk. Selain daripada itu, bahagian yang boleh dilihat adalah lampu belakang.



Unit itu kelihatan lebih kecil, dan kini menggunakan lampu penunjuk arah yang berada pada penghadang lumpur sama seperti RS150R versi Malaysia. Sebelum ini, Winner di Vietnam menggunakan lampu penunjuk arah yang bersepadu sekali dengan unit lampu belakang.

Satu lagi ciri yang berubah pada model facelift ini adalah bahagian meter, dan sekiranya grafik kartun dalam video itu boleh dipercayai, ia menyerupai unit yang berada pada Honda CBR150R. Rekaan ekzos juga berubah. Biasanya, jika di Vietnam sudah dilancarkan, ia akan diikuti oleh Thailand dan Indonesia terlebih dahulu dan selepas itu mungkin barulah negara kita.

Source: Read Full Article